5 asnaf terima rumah bantuan



Oleh : Khartini Hamir / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman





 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 16 Februari. - Dalam usaha meringankan beban dan memberikan kehidupan yang lebih selesa khusus bagi golongan asnaf di Negara Brunei Darussalam, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menyerahkan rumah bantuan kepada lima orang asnaf.


Antara penerima Projek Bantuan Perumahan bagi Golongan Daif, Fakir dan Miskin (pelaksanaan projek dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan) terdiri daripada Awang Hasnan bin Kalong; Awang Norzaliani bin Latif; Dayang Radiah binti Haji Othman; dan Dayang Ewanawati binti Abdullah.


Manakala Dayang Siti Aminah binti Abdullah antara penerima rumah bantuan melalui projek kerjasama dan bersepadu dengan Pusat Da'wah Islamiah, KHEU.


Sehubungan itu, Majlis Penyerahan Sijil Kesiapan Rumah dan Plak Rumah disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, selaku Yang Di-Pertua MUIB kepada lima orang penerima yang diadakan di Ruang Legar, Bangunan Tambahan, KHEU petang tadi.


Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, selaku Naib Yang Di-Pertua MUIB; Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim, seterusnya mengadakan lawatan secara serentak ke lima-lima buah rumah tersebut yang masing-masing terletak di Kampung Mulaut, Kampung Tanah Jambu, Kampung Jaya Setia, Kampung Serasa dan Kampung Sungai Hanching.


Kos perbelanjaan bagi membina lima buah rumah tersebut adalah sebanyak $451,962.90 diambil daripada Kumpulan Wang Zakat Majlis Ugama Islam.


Majlis penyerahan rumah bantuan kepada keluarga yang kurang berkemampuan tersebut bertujuan bagi mempertingkatkan kesejahteraan hidup rakyat dan penduduk di negara ini khususnya di kalangan asnaf fakir, miskin dan mualaf.


Penyerahan rumah bantuan ini mencerminkan keprihatinan dan tanggungjawab bersama dalam memastikan kebajikan golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf sentiasa terpelihara.


Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan menyediakan tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat, bahkan menjadi simbol sokongan berterusan kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup mereka agar dapat menjalani kehidupan yang lebih stabil.


Melalui usaha ini, diharapkan para penerima bukan sahaja memperoleh manfaat dari segi fizikal malah turut beroleh kekuatan semangat untuk membina kehidupan yang lebih baik, berdikari dan terus istiqamah dalam menghayati ajaran Islam.


Close